3 termasuk anggota polis, anak maut kemalangan
|
|
SEREMBAN 2 Dis. – Seorang anggota polis dan anaknya rentung setelah kereta yang mereka naiki terbakar dan meletup dalam kemalangan ngeri di Kilometer 270.9 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran kawasan Rawat dan Rehat (R&R) di sini pagi ini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 6.30 pagi itu, kereta Proton Perdana V6 yang dipandu oleh mangsa, Lans Koperal Azmi Abdul Aziz, 29, terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di tengah lebuh raya sebelum ia beralih semula ke lorong kiri.
Pada masa yang sama, sebuah kereta Proton Waja dari arah yang sama merempuh kenderaan mangsa.
Kemalangan itu menyebabkan Azmi dan anaknya, Mohamad Nor Akmal Daniel, 6, serta pemandu Proton Waja itu, Samir Bhamerick, 39, mati di tempat kejadian.
Isteri Allahyarham Azmi yang juga seorang anggota polis, Lans Koperal Rohana Ahmad, 26, serta seorang lagi anak mereka, Mohamad Nor Amsha Danish, 3, mengalami kecederaan ringan.
Azmi berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam manakala isterinya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar pada sidang akhbar bersama Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini berkata, Azmi dan keluarganya dalam perjalanan pulang ke Shah Alam setelah bercuti tiga hari di Kota Tinggi, Johor.
Menurut Khalid, kenderaan yang dipandu Azmi dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan dirempuh kereta Proton Waja itu.
‘‘Selepas kemalangan itu, orang awam yang berada di kawasan tersebut membantu mangsa sebelum pihak Bomba dan Penyelamat tiba 15 kemudian,’’ katanya.
Menurut Khalid, pihak polis Negeri Sembilan sedang menyiasat punca sebenar kemalangan dan mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk bedah siasat.
Katanya, Allahyarham Azmi menyertai pasukan polis sejak 10 tahun lalu dan kini berkhidmat di Unit Kereta Peronda IPD Shah Alam.
Sementara itu, Rohana yang kelihatan masih terkejut dan bersedih dengan peristiwa tersebut, hanya mendiamkan diri sambil meratapi jenazah suaminya selepas disembahyangkan di surau IPK negeri di sini.
Jenazah kedua-dua beranak itu kemudiannya dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Emas, Kota Tinggi, Johor selepas solat Maghrib, malam ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan